Bermula daripada rutin kerja yang padat sehingga menyebabkan tekanan dan sakit kepala kronik, ia telah membuatkan Penny Choong mula memberi tumpuan terhadap kesihatannya, termasuk menjaga pemakanan.
Rentetan itu, pertemuannya dengan Katherine Khoo, seorang penasihat kesihatan dan pemakanan, kedua-dua wanita ini mendapat idea untuk menghasilkan VitaChocs, coklat bar yang menyihatkan untuk dihadam.
“Kami hasilkan coklat ini untuk kesedaran dari sudut kesihatan. Semua orang sukakan coklat. Kita juga tahu koko ada banyak nutrien yang bagus terkandung di dalamnya. Tetapi orang-orang seperti saya yang sudah berumur 30 tahun ke atas, kami selalu risau hendak makan coklat dalam pasaran kerana tahu kandungannya banyak gula, perasa tambahan dan campuran bahan kimia yang tidak elok untuk tubuh badan.
“Atas sebab itu, kami muncul dengan idea untuk menghasilkan coklat ini supaya kami juga boleh enjoy makan coklat, namun dalam masa yang sama masih menititikberatkan soal penjagaan kesihatan,” ujar Penny yang merupakan pengarah urusan dan pengasas VitaChocs.
Menurutnya lagi, VitaChocs boleh dijadikan snek yang menyihatkan kerana ia merupakan coklat vegetarian yang bebas bahan pengawet, malah diperkayakan dengan nutrient tambahan supaya sesuai dijadikan makanan ringan yang berkhasiat.
Coklat ini juga dicampur dengan pati minyak untuk menambahkan rasa dan aromanya, malah membantu mengurangkan tekanan selain membaiki proses pencernaan. Jadi, tidak perlu lagi risau akan obesiti atau tahap gula meningkat jika menjadikan VitaChocs sebagai coklat pilihan. Bahkan, ia juga amat sesuai diambil oleh mereka yang sedang dalam proses diet apabila teringin hendak menjamah coklat.
“Selain dijual dalam talian, kami juga memasarkan VitaChocs di Qra Grocer. Kami juga menjalin kerjasama memasarkan produk ini di tempat-tempat yang ada kaitan dengan penjagaan kesihatan seperti gym, spa, pusat kesihatan dan juga organik kafe yang memfokus pada makanan sihat. Malah, kami juga menerima banyak permintaan daripada golongan vegetarian,” kata Penny sewaktu ditemubual ketika majlis pelancaran VitaChocs yang berlangsung di gym Fitokio di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
VitaChocs diperkenalkan dalam enam jenis perasa iaitu peppermint dark chocolate, lemon dark chocolate, grapefruit dark chocolate, tangerine & almond dark chocolate, relax peppermint chocolate dan relax lemon chocolate.
Menurut Penny lagi, kini mereka dalam proses untuk mendapatkan sijil halal dan dalam perancangan untuk meluaskan jualannya ke negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.